Wednesday, April 20, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Derhaka dalam taat...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Maksud Firman Allah SWT;

70- Hai orang-orang yang beriman ! Patuhlah kepada Allah dan ucaplah perkataan yang benar!
71- Allah nanti akan memperbaiki pekerjaan mu dan mengampuni dosamu. Dan siapa yang mematuhi Allah dan Rasul-Nya, sesunggungnya dia akan memperolehi keberuntungan yang besar.
Al-Ahzab (Pasukan Berikat) ayat 70-71


Kita selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukan melalui (amalan) zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain melakukan “derhaka dalam taat
Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar dirinya melakukan amalan yang kelihatan pada zahirnya baik, tetapi hakikatnya ia dibenci dan dimurkai oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaan tidak ikhlas, riak, ujub, sombong , mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.

Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai “penipu” dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)

Terdapat dua golongan orang yang dianggap melakukan derhaka dalam taat iaitu :

1. Amal Yang Tidak Sempurna

    Orang yang  mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.

Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping “Fadilul a’mal” (solat tahajud, puasa sunat, baca al-Quran dan lain-lain) dan adakalanya dia pemurah, lemah –lembut tetapi dalam masa yang sama, kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, memfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.

Golongan ini dianggap golongan derhaka dan tidak lepas dari api Neraka. Imam Ghazali berkata :  
”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) bangun untuk bersolat Tahajud malam (amalan sunat), jangan buat dosa (haram) di siang hari, kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah dimalam hari (tahajud) tetapi derhaka (buat perkara haram) di siang hari”.
 
2. Cuai dengan Amalan Batin
    Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan batin . Orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, jahat sangka, sombong, bakhil, riak,ujub, cinta dunia, mementingkan diri dan lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepda orang yang kurang ibadah. Kerana menyangka dirinya hebat. Dia rasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di akhirat, ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia dalam syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Alah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya "Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecik”  
 
Sahabat bertanya; "apakah syirik kecil itu 
 
Baginda SAW menjawab ”ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjuk amalan” 
 
kemudian Baginda SAW menyambung; diakhirat kelak; iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya , ALLAH SWT berfirman kepada mereka ” Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjuk) amalan kamu ketika didunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu ?”  
( Riwayat Ahmad dan al-Baihagi)

Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan; "ALLAH SWT tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar zarrah” (Hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’Ulumiddin) 

Derhaka dalam taat perkara yang  tidak kita sedari ia adalah jarum halus Syaitan dalam menjauhkan kita daripada Allah SWT,  saya sebenarnya mengingatkan diri saya sendiri yang perlu bermujahadah bersungguh-sungguh mengubat penyakit hati dan melawan nafsu yang jahat untuk mendapatkan hati yang suci dan sebagaimana yang Allah kehendaki.

Setelah mengetahui bahawa hati yang terhijab dan yang derhaka menyebabkan kita tidak menemui jalan mencapai keredhaan Allah, berusahalah bersunggung-sungguh menggilap hati kita dan tidak berlaku derkaka.

Tafsir Quran susunan Fachruddin Hs dan H, Zainuddin Hamidy  Mukashafah al-Qulub- Imam Al-Ghazali Ghurur- Jaafar Salleh

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment